SEBUT Batu Gajah, pasti ramai mengaitkan daerah yang terletak 24 kilometer dari Ipoh, Perak ini sebagai antara kawasan yang pernah tersohor dengan kegiatan perlombongan bijih timah dan tempat tersergamnya Kellie’s Castle (Istana Kellie) iaitu satu daripada tarikan pelancongan terkemuka di Perak.
Justeru, ramai terlepas pandang fakta atau perkara menarik lain berkait Batu Gajah di Mukim Sungai Terap, satu daripada Jajahan Kinta dan mempunyai kepadatan dianggarkan kira-kira 93,600 orang ini seperti ia adalah tempat kelahiran Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.
SITU...Khalid menunjukkan kawasan dipercayai tempat Sang Kelembai menyumpah tiga ekor gajah menjadi batu.Sultan Azlan Shah diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah dan baginda turut menerima pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris) Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah.
Baginda adalah Yang di-Pertuan Agong Kesembilan dari 26 April 1989 hingga 25 April 1994.
Satu lagi perkara menarik yang mungkin boleh menjadi isu mencuit hati sesetengah pihak jika memperkatakan mengenainya ialah sejarah bagaimana Batu Gajah mendapat namanya.
Bagi mendapat�kan peratusan jawapan tertinggi berhubung perkara itu memandangkan kaji selidik awal mendapati wujud tiga cerita berbeza mengenainya, satu pertemuan khas dibuat dengan Abdul Wahab Sulaiman, 85.
Beliau adalah generasi keempat keturunan Toh Amar Diraja Bong�kok (lahir 1800-an) yang juga pembesar pertama membuka kawasan perkampungan di Mukim Sungai Terap, sekali gus menjadi penghulu terawal kawasan ini sebelum diwarisi keluarganya dan bapanya, Datuk Amar Sulaiman Toh Amar Diraja Pandak Akhat adalah penghulu terakhir sebelum kerajaan Inggeris mengambil alih pentadbiran Perak.
“Ada beberapa versi mengenai asal usul nama Batu Gajah tapi bagi penduduk asal, hanya satu versi diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya, termasuk dalam keluarga saya iaitu ia berpunca daripada tindakan Sang Kelembai menegur tiga ekor gajah, menyebabkan haiwan itu menjadi batu.
“Dikisahkan pada zaman dulu wujud makhluk ghaib bernama Sang Kelembai (juga dipanggil Gelembai atau Gedembai) yang mempunyai kuasa mengubah benda hidup menjadi batu apabila ia menegurnya. Ketika itu kawasan Batu Gajah dilitupi hutan tebal dan masih menjadi habitat kebanyakan binatang liar, terutama gajah.
“Sang Kelembai yang turut menghuni dalam hutan, dikatakan sensitif dan pantang dengan bunyi bising. Jika diganggu dengan bunyi bising, sama ada oleh manusia atau binatang, Sang Kelembai akan menegurnya dan ia bertukar menjadi batu,” katanya yang masih petah berbicara dan aktif biarpun berusia 85 tahun.
Katanya lagi, pada satu hari Sang Kelembai yang baru kematian anaknya merayau dalam hutan dan apabila tiba berhampiran Sungai Kinta, dia terserempak dengan tiga ekor gajah di dalam sungai itu yang asyik berbual me�ngenai keburukan binatang lain.
“Sebaik melihatnya, kumpulan gajah berkenaan memperkatakan sesuatu kepada Sang Kelembai yang mengguris perasaannya.
“Sang Kelembai kemudian menegur perbuatan ketiga-tiga ekor gajah itu dan terus ia menjadi batu. Pada masa sama, peristiwa itu disaksikan seorang lelaki yang suka memencilkan diri.
“Memandangkan ketika itu kawasan ini masih tidak mempunyai nama dan baru diterokai, lelaki terbabit mengambil iktibar daripada peristiwa berkenaan untuk menamakan tempat ini Batu Gajah.
“Mungkin banyak pihak beranggapan ia cerita dongeng semata-mata, tapi hakikatnya sehingga kini mitos yang dipercayai berlaku sekitar 1800-an itu tidak pernah disahkan benar atau sebaliknya kerana tiada kajian khusus dibuat mengenainya,” katanya.
Namun wujud bukti yang boleh dikaitkan dengan kisah itu kerana Batu Gajah wujud sekitar 1870-an. Ia berdasarkan catatan diari Residen British pertama di Perak iaitu JWW Birch yang melawat Batu Gajah pada 30 April 1875 dan menyifatkan kawasan ini sebagai kampung besar di tepi Sungai Kinta dan ada sebuah relau besar untuk melebur bijih timah.
Malah Birch menyebut mengenai kewujudan batu berbentuk gajah dalam diarinya. Katanya, batu itu dipanggil ‘Toh Gaja’ (Tok Gajah) dan sesiapa yang lalu berhampirannya perlu mengambil segenggam rumput atau daun dan menepuknya di bahagian dada Tok Gajah sebanyak tujuh kali sebagai adat bagi melancarkan perjalanannya.
Apapun, hasrat wartawan Metro Ahad untuk melihat batu itu berkecai gara-gara pembangunan pesat bermula era perlombongan bijih timah pada 1870-an menjurus kepada kerja-kerja meluruskan Sungai Kinta, menyebabkan lokasi ketiga-tiga batu berbentuk gajah terletak berhampiran Kampung Pisang tertimbus sekitar 1950-an.
Kekecewaan itu turut dikongsi pesara kerajaan yang juga penduduk asal Batu Gajah, Khalid Mat Yunus, 71, kerana tidak sempat menunjukkan batu berkenaan kepada anak cucunya selepas ia tertimbus sebaik kerja-kerja meluruskan Sungai Kinta dijalankan.
“Dulu sungai ini bengkang beng�kok dan kedudukan laluannya berbeza daripada sekarang. Saya bertuah kerana sempat melihat batu berbentuk gajah yang diceritakan kepada saya oleh nenek moyang disebabkan oleh teguran Sang Kelembai. Masa kecil saya selalu memancing di tempat dipanggil Paya Siam yang terletak berhampiran batu berkenaan.
“Batu itu memang kelihatan seperti tiga ekor gajah. Bagaimanapun, selepas kerja-kerja meluruskan sungai dilakukan, kawasan ini dibiarkan begitu saja menyebabkan batu itu tertimbus,” katanya ketika menunjukkan laluan asal Sungai Kinta di mana lokasi batu itu dipercayai tertimbus dan kini diliputi belukar.
Menurutnya, air Sungai Kinta dulu jernih dan dihuni pelbagai jenis spesies ikan serta buaya. Malah pernah berlaku insiden pada 1910 apabila seorang lelaki bernama Jusoh mati dibaham seekor buaya ketika mengam�bil wuduk di tebing Sungai Kinta berhampiran Masjid Jamek Batu Gajah sebelum reptilia itu berjaya ditangkap dan dibunuh oleh pawang buaya bernama Tok Ki Layor.
Apapun, pertumbuhan ekonomi negara membawa kepada perubahan Batu Gajah yang kini dihuni kira-kira 93,600 penduduk berbanding hanya mempunyai 40 rumah kampung pada 1875 dengan majoritinya kaum Melayu diikuti Cina, India dan lain-lain. Penduduknya juga tidak lagi bergantung kepada bijih timah dan getah, sebaliknya memiliki karier dalam aktiviti ekonomi moden.
Namun jika Sang Kelembai benar-benar wujud, tidak pasti sama ada dia akan senyum melihat semua itu atau menggeleng kepala dan dirundung kesedihan kerana batu gajah sumpahannya yang menjadi titik permulaan Batu Gajah, dibiar sepi tanpa diberi penghargaan.
ARTICLE DIAMBIL DARI
BERITA METRO http://www.hmetro.com.my/articles/Angkarasukamengata/Article
0 comments:
Post a Comment