Friday, February 24, 2012

Rendang tok sebenarnya dikatakan berasal dari Kampung Pisang Batu Gajah, Perak

Masak sampai hitam

Masih mengekalkan cara masakan tradisional menggunakan kayu api, penangan rendang tok Seri Musma pasti menjilat hari.


MEMERLUKAN kira-kira enam jam untuk mendapatkan Rendang Tok seperti ini.

RENDANG tok memang cukup terkenal di Perak. Namun, tidak keterlaluan jika dikatakan populariti makanan tradisi negeri Seladang itu kini sudah sampai ke seluruh negara.

Rendang tok sebenarnya dikatakan berasal dari Kampung Pisang Batu Gajah, Perak yang kemudiannya tersebar ke kebanyakan daerah di Perak.


Rendang Tok merupakan hidangan Melayu tradisional yang mempunyai cita rasa dan kelazatan yang tersendiri tanpa dicampur bahan pengawet dan perasa tiruan.

Lebih unik lagi, masakan Rendang Tok ini masih disediakan menggunakan cara tradisional iaitu di atas dapur kayu.

Hidangan ini dikatakan dibawa secara turun temurun sejak zaman dahulu kerana kaedah masakan yang melibatkan rempah dan bahan tradisional.

Nama rendang tok ini juga dikatakan digunakan pada zaman dahulu oleh kerana ia dimasak oleh orang tua pada ketika itu dan cara masakan pula sehingga kering dan berwarna hitam.

Menurut Pengusaha Seri Musma Enterprise, Mustapa Kamal Abdul Rah

man, 43, beliau berkecimpung dalam perniagaan rendang tok sejak 20 tahun yang lalu. Ia sebenarnya resipi daripada emaknya secara turun temurun.

Katanya, salah satu keunikan dalam persediaan rendang tok ialah menggunakan dapur kayu untuk dimasak secara bergotong-royong.

SEBANYAK 1,500 kg daging digunakan untuk menyediakan Rendang Tok setiap hari.

Mustapa berkata, beliau dan ahli keluarganya telah melibatkan diri dalam perniagaan ini daripada ibunya Jamilah Yeop Abdullah, 69, sejak dua dekad lalu.

Katanya, rendang tok yang disediakan secara tradisional mempunyai sedikit kelainan berbanding di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu.

"Jika kita lihat penyediaan rendang tok di negeri Terengganu dan Kelantan, ia memang dimasak dan dijual kepada orang ramai tetapi rasanya lain sedikit dan dagingnya berwarna merah.

"Tetapi rendang tok masakan tradisional Perak mengekalkan kelazatan teristimewa dan dagingnya pun dimasak secukupnya sehingga berwarna hitam," katanya.

Ketika Kosmo! bersinggah ke rumah beliau yang terletak di Kampung Pasir Puteh Ipoh, terdapat ruang dapur kayu yang khas beserta tiga kawah besar yang boleh menampung 60 kilogram (kg) daging untuk memasak rendang tok.

Menurut Mustapa, setiap hari beliau menggunakan 1,500 kg daging untuk menyediakan rendang tok dengan kerjasama isterinya Norini Mat Isa, 45, dan ahli keluarganya yang lain secara bergotong royong pada waktu pagi dan malam setiap hari.

Tiga buah dapur kayu dengan kawah yang dimasukkan dengan daging dan bahan rempah ratus yang lain dikawal supaya tidak terjejas dari segi persediaannya yang mengambil masa sehingga enam jam untuk siap dimasak.

Katanya, oleh faktor komersial ramai peniaga rendang tok kini lebih selesa menyediakan masakan itu secara moden.

"Pasti cita rasanya berlainan sedikit berbanding yang disediakan secara tradisional menggunakan dapur kayu di kampung," jelasnya.

Rendang tok yang diusahakan oleh keluarganya bukan sahaja mengikut amalan tradisional setiap bahan rempah dan ramuan yang dimasukkan di sukat secara tepat dan tahap kepanasan api juga diberi keutamaan bagi mengekalkan kelazatan aslinya.

Perniagaan rendang tok yang diusahakan itu berjaya mendapat tumpuan orang ramai khususnya di negeri Perak sempena bulan perayaan ini.

Selain melariskan jualannya di Bazar Ramadan Medan Gopeng, beliau turut menjalankan perniagaan menjual rendang tok di pasar pagi dan pasar malam di seluruh negeri Perak.

"Hidangan rendang tok boleh dibeli di pasar pagi dan pasar malam di seluruh Perak setiap hari selain mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mempromosikan Rendang Tok yang dihasilkan secara tradisional.

"Pada setiap musim perayaan, ramai orang kenamaan yang merupakan pelanggan utama saya antaranya Tan Sri Rafidah Aziz yang turut membuat tempahan rendang tok ini untuk majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri setiap tahun," katanya.

MASAKAN Rendang Tok ini masih disediakan menggunakan cara tradisional iaitu di atas dapur kayu.


Tambah Mustapa, rendang tok yang diusahakan keluarganya kini ada dibekal secara pukal ke pasar raya Tesco Stesen 18, Pasir Puteh dan pasar raya Giant di Taiping selain menerima tempahan dari Shah Alam dan Putrajaya baru-baru ini, untuk sambutan bulan syawal nanti.

Beliau juga tidak menghadapi kesukaran untuk menjual rendang tok kerana memiliki empat kumpulan yang terdiri daripada lebih 20 orang pekerja untuk membantu perniagaannya.


0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More